25 March 2020

Tempoh Bekerja Dari Rumah Bagi Penjawat Awam Dilanjutkan 20 Hari Lagi Sehingga 14 April

Tempoh bekerja dari rumah bagi penjawat awam dilanjutkan sehingga 14 April depan selaras pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, Surat Edaran JPA bertarikh 17 Mac 2020 mengenai Arahan Bekerja Dari Rumah Berikutan PKP dan Penutupan Premis Kerajaan berserta soalan lazimnya adalah terpakai bagi tempoh lanjutan PKP itu.
“Selari dengan itu, sebahagian penjawat awam telah diarahkan supaya bekerja dari rumah berikutan arahan penutupan premis kerajaan. Manakala, sebahagian lagi diarahkan bertugas seperti biasa mengikut keperluan semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara sektor perkhidmatan awam yang terlibat dalam perkhidmatan penting adalah sektor kesihatan, keselamatan, makanan, logistik dan utiliti, katanya.
“Mereka kini bersama berganding bahu, berkhidmat sepenuh jiwa dan raga untuk mengawal serta membanteras penularan wabak COVID-19 dan dalam masa yang sama turut memastikan keperluan asas rakyat tidak terjejas,” katanya.
Mohd Khairul Adib berkata sepertimana ikrar dan sumpah setia sebagai penjawat awam, para pegawai sentiasa dilatih dan dididik untuk mengutamakan negara, jauh melebihi kepentingan diri.
“Kita dilantik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh negara dan rakyat. Cabaran yang dihadapi ketika ini, jelas menggambarkan khidmat bakti yang ditumpahkan semata-mata untuk negara dan rakyat.
“Tidak kira apa pun yang berlaku, walaupun terpaksa berjauhan daripada keluarga dan berhadapan dengan ancaman wabak, namun demi tugas tetap dipastikan ia dilaksana dengan bersungguh-sungguh,” katanya.
Mohd Khairul Adib menyeru agar penjawat awam menjadi contoh yang baik buat masyarakat dengan mematuhi arahan PKP yang sedang dilaksanakan pada ketika ini selain turut memainkan peranan yang berkesan kepada ahli keluarga dan anggota masyarakat dengan menasihatkan mereka supaya mematuhi arahan duduk di rumah.
Beliau turut mengingatkan agar penjawat awam tidak terlibat dalam menyebarkan berita-berita yang tidak sahih dan boleh menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat.
“Sebagai penjawat awam kita wajar menyampaikan maklumat yang betul dari sumber-sumber yang sahih dan tepat. Pada masa ini, setiap kementerian telah mewujudkan talian hotline bagi memudahkan rakyat mendapat maklumat secara terus daripada kementerian masing-masing,” katanya.
Muhyiddin dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini mengumumkan tempoh PKP dilanjutkan sehingga 14 April 2020 dan pelanjutan tempoh itu diumumkan lebih awal supaya rakyat akan lebih bersedia.
Sumber -BERNAMA